Pemerintahan Mansa Musa

Pengerjaan haji

Musa memulakan perjalanannya ke Mekah menunaikan haji antara tahun 1324 dan 1325;[12][13] anakanda Musa, Magha Keita, dijadikan wakil baginda pada ketika ini.[14]

Rombongan yang mengiringi baginda sangat besar dan lengkap[15] termasuk:

  • 60,000 orang pemuda berpakaian sutera Parsi,
  • 12,000 orang hamba[16] setiap satunya memikul 1.8 kg (4 lb) tongkol emas
  • seberapa orang pengutus bertongkat emas dan berkuda
  • 80 ekor unta memikul 23 hingga 136 kilogram (ikut sukatan moden) habuk emas.

Musa banyak memberikan emas kepada semua orang miskin yang ditemui sepanjang perjalanan baginda termasuk di Kaherah - untuk berjumpa Sultan Al-Nasir Muhammad pada Julai 1324 (ikut takwim Masihi)[17] - dan Madinah. Pembinaan masjid-masjid juga diarahkan pada setiap hari Jumaat waktu perjalanan baginda.[18] Kesemua perlakuan baginda pada waktu ini banyak dicatatkan para sejarawan sezamannya. Ahmad Al-Maqrizi pernah bersemuka dengan Musa menggambarkan raja tersebut berupa " muda berkulit perang dengan lenggok badan yang segak".[19]

Selepas kembali dari haji

Baginda mendapat khabar dalam perjalanan pulang bahawa balatenteranya pimpinan Sagmandia berjaya mengepung Gao serta menahan dua orang putera raja Gao iaitu Ali Kolon dan Suleiman Nar; namun Musa melayan mereka berdua dengan baik malah menaja pengajian mereka bersama isi kerabat baginda di Niani (kini di Guinea moden).[20]

Baginda turut membawa sebilangan cendekiawan dan jurubina Arab ke Mali untuk membantunya membangunkan kerajaannya.[20] Beliau banyak mendirikan masjid dan madrasah bersama para pakar ini, Madrasah Sankore merupakan binaan paling terkenal dalam pelaksanaan tersebut. Timbuktu diambil alih sebagai kota milik baginda yang turut dibangunkan lama-kelamaan menarik perhatian para pedagang dari serata pelusuk Afrika. Madarasah mengembangkan ajaran Islam dari pusat ini sehingga menjadi tumpuan para pelajar[21] dengan sebanyak 250,000 orang pelajar dan kira-kira 1,000,000 buah manuskrip disimpan.[22][23]